Rangka kecil punca sukar gemuk




SABAN hari Jamal, 24, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memikirkan keadaan badannya yang dirasakan kurus.
Dengan berat 47 kilogram (kg) dan berketinggian 170 sentimeter (sm), Jamal kurang berkeyakinan apabila berada di khalayak selain menghadapi masalah untuk memadankan pakaian yang sesuai.
Mencuba pelbagai cara termasuk mengambil beberapa jenama pil penambah selera yang disyorkan oleh doktor serta susu menambah berat badan, semua itu tidak menampakkan hasil positif.
“Makan pil memang meningkatkan selera makan tetapi saya masih gagal untuk menambah berat badan.
“Saya juga pernah minum susu yang didakwa dapat meningkatkan berat badan namun kesannya seperti tiada langsung.
“Saya tidak menyalahkan keberkesanan minuman itu seratus peratus memandangkan saya sendiri mengambilnya secara kurang teratur,” kata Jamal yang mempunyai ukur lilit pinggang 92 sm.
Selepas bertemu doktor pakar beberapa tahun lalu, Jamal diberitahu bahawa masalah itu melibatkan faktor genetik, kadar metabolisma yang tinggi serta gaya hidupnya yang aktif bersukan.
Anak pertama daripada enam adik-beradik itu pernah mendapat nasihat lain yang mungkin berkesan untuk menambahkan berat badan seperti melakukan aktiviti kecergasan, mengangkat bebanan dan suntikan steroid.
Anoreksia
“Saya percaya kepada keberkesanan aktiviti kecergasan di gimnasium tetapi masih tidak berkesempatan melakukannya akibat kekangan waktu.


“Bagaimanapun, saya tidak berani mengambil steroid kerana bimbangkan kesan sampingannya,” katanya.
Kisah sama dikongsi oleh seorang pekerja swasta, Rosdalilah Zahari yang pernah digelar anoreksia oleh rakan-rakannya.
Dengan berat 49 kg dan berketinggian 145 sm, Rosdalilah, 29, turut mendapatkan nasihat daripada doktor pakar kedua-dua hospital kerajaan dan swasta.
Seperti Jamal, dia dinasihatkan mengambil makanan yang disyorkan oleh doktor tetapi tidak dapat mengikutinya dengan berdisiplin.
“Ada kawan-kawan yang menggelar saya tiang lampu, lidi dan anoreksia kerana keadaan fizikal yang kurus dan cengkung.
“Nasihat doktor agar mengambil makanan yang disyorkan tidak dapat saya ikut kerana faktor selera dan membuatkan saya mudah lapar,” katanya yang pernah mencatatkan berat 42 kg ketika berusia awal 20-an.
Pandangan perunding kecergasan dan nutrisi, Kevin Zahri, boleh diambil kira oleh mereka yang berada dalam situasi sama.
Menurut Kevin, masalah kesukaran untuk menambah berat badan adalah disebabkan faktor genetik.
Golongan itu mempunyai bentuk badan ektomorf iaitu kerangka badan yang kecil dan panjang.
Ektomorf
“Keadaan genetik pemilik bentuk badan ektomorf tidak dapat diubah sebaliknya boleh dibantu dengan meningkatkan pertumbuhan otot.
“Golongan ini sukar untuk menambah berat badan dan perlu berusaha lebih,” kata Kevin yang sering memberi nasihat melalui laman webnya, kevinzahri.com.
Perkara utama yang diambil kira dalam membentuk otot badan adalah pemilihan jenis dan kuantiti makanan yang betul, aktiviti kecergasan dan makanan suplemen.
Menurutnya, orang kurus tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada suplemen kerana ia hanya sebagai perangsang untuk membantu pertumbuhan otot.
“Latihan bebanan di gimnasium membantu menambah berat melalui pembentukan otot dan menjadi lebih sasa.
“Tidak kira lelaki atau wanita, latihan ini amat perlu untuk menambah berat badan dengan syarat ia dilakukan secara berterusan.
“Sama ada seseorang itu ingin menambah atau mengurangkan berat badan, kita perlu makan di antara lima hingga enam hidangan sehari yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak.
“Perlu diingat, suplemen hanyalah bahan rangsangan untuk pertumbuhan otot dan bukannya alat untuk menambah berat badan.
“Tanpa latihan dan makanan yang teratur, suplemen tidak memberi sebarang kesan,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam dunia kesihatan kecergasan.
Solusi kepada sesiapa yang bertubuh kurus seperti dijelaskan Kevin itu harus dilakukan secara berterusan agar dapat mengekalkan saiz dan bentuk badan yang diinginkan dan bukannya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Seorang profesor dari Jabatan Pengimejan Molekular, Imperial College London, Dr. Jimmy Bell, menjelaskan bahawa individu kurus tidak semestinya mempunyai kesihatan yang baik kerana terdapat bukti imej dalaman yang menunjukkan lemak dan menyelaputi organ.
Lemak dalaman yang meliputi organ dalaman seperti jantung, hati atau pankreas yang tidak dapat dilihat mata kasar sama bahayanya dengan lemak di bawah kulit.
Kurus bukan bererti anda sihat. Budaya makan apa sahaja dengan banyak untuk menambah berat badan boleh menyebabkan kandungan lemak dalaman bertambah dan ia membahayakan kesihatan,” kata Bell.

SUMBER :- Kosmo! Online .

Thanks for reading :)

0 0 Comments...: